Selangorkini
Michelle Ng Mei Sze (dua kanan) meninjau proses pendaftaran warga emas yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan percuma ke pusat pemberian vaksin pada 31 Mei 2021. Foto Facebook Michelle Ng
ADN SELANGOR

Wakil rakyat sediakan pemandu bawa warga emas, OKU ke pusat vaksin

SHAH ALAM, 1 JUN: Wakil rakyat Subang Jaya menyediakan pengangkutan percuma untuk warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) ke pusat pemberian vaksin (PPV) sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Michelle Ng Mei Sze berkata inisiatif bermula minggu lalu menyasar golongan kurang berkemampuan bagi memastikan mereka tidak terlepas janji temu mendapatkan suntikan vaksin.

“Mereka perlu membuat tempahan mendapatkan perkhidmatan ini dua hari sebelum tarikh janji temu suntikan vaksin selepas menerima notifikasi melalui aplikasi MySejahtera.

“Pemandu akan mengambil individu berkaitan di rumah masing-masing untuk dihantar ke PPV sekitar Selangor dan Kuala Lumpur selain menguruskan proses suntikan hingga selesai,” katanya ketika dihubungi.

Michelle berkata seramai 15 pemandu dalam lingkungan usia 20 hingga 55 tahun berdaftar secara sukarela dengan semuanya diberi surat kebenaran rentas daerah.

“Justeru, sangat penting untuk setiap orang memainkan peranan membantu individu seperti ini bagi memastikan negara mencapai imuniti kelompok,” katanya menambah kira-kira 50 warga emas dan OKU sudah dibantu.

Mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan itu boleh menghubungi Pengerusi Rukun Tetangga USJ 2, Har di talian 012-2731336.


Pengarang :