AGENDANASIONAL

Waspada sindiket Macau Scam, menyamar pegawai lembaga hasil

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan Macau Scam yang tidak berputus asa dalam memperdayakan mangsa.

Menurut maklumat dikongsikan kepada LHDNM oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (JSJK, PDRM), bagi tempoh 1 Januari 2021 sehingga 27 Mei 2021, sebanyak 556 kes melibatkan kerugian lebih RM15.26 juta berkaitan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDNM telah disiasat.

Modus operandi yang digunakan oleh suspek atau scammer ialah dengan menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai dari LHDNM.

Scammer seterusnya menyatakan syarikat atau perniagaan mangsa masih mempunyai tunggakan cukai yang mesti dilunaskan.

Mangsa yang terkeliru dengan panggilan ini kebiasaannya membuat penafian dan seterusnya panggilan akan disambungkan pula kepada individu yang menyamar sebagai polis, pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau pegawai dari agensi penguatkuasa yang lain dan memaksa mangsa untuk membuat laporan rasmi.

Mangsa seterusnya dikaitkan pula dengan kegiatan pengubahan wang haram, pengedaran dadah atau kegiatan jenayah yang lain sehinggakan mangsa menjadi panik dan mereka diminta untuk menyerahkan maklumat perbankan termasuklah nombor TAC/OTP.

Mangsa mula menyedari mereka ditipu apabila mendapati wang dalam akaun mereka telah dipindahkan ke akaun bank pihak ketiga dan suspek tidak dapat dihubungi semula.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan lakukanlah pengesahan dengan LHDNM terlebih dahulu terhadap setiap panggilan, e-mel mahupun surat yang meragukan dengan menghubungi talian Hasil Care Line atau talian pegawai yang boleh disemak senarainya pada portal rasmi www.hasil.gov.my atau hadir ke cawangan LHDNM berhampiran.

Di samping itu, orang ramai juga boleh membuat semakan modus operandi sindiket penipuan ini melalui media sosial dan portal rasmi LHDNM atau klik capaian pantas berikut:

http://www.hasil.gov.my/bt_goindex.php?bt_kump=10&bt_skum=1&bt_posi=1&bt_unit=2&bt_sequ=1

Adalah ditegaskan bahawa LHDNM tidak membincangkan hal-hal berkaitan percukaian melalui panggilan telefon peribadi. Sebarang permohonan maklumat daripada pembayar cukai dan arahan pembayaran cukai tertunggak akan dilakukan secara teratur melalui surat atau e-mel rasmi yang menggunakan domain @hasil.gov.my.

Selain itu, bagi pembayaran cukai juga, pembayar cukai hendaklah memastikan bayaran cukai dibuat kepada penama seperti jadual di bawah untuk memastikan bayaran tersebut benar-benar masuk ke akaun LHDNM dan seterusnya mengelakkan diri daripada ditipu oleh scammer

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDNM melalui:
a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);

b) HASiL Live Chat; dan

c) Borang Maklum Balas di Portal Rasmi LHDNM di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

 

-BERNAMA


Pengarang :