Penduduk Pangsapuri Mentari Court menerima suntikan vaksin Covid-19 di Surau Al- Mustaqim, Petaling Jaya pada 5 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

1,553 penduduk Mentari Court terima vaksin, pertama kali di PKPD

PETALING JAYA, 5 JULAI: Seramai 1,553 penduduk di Pangsapuri Mentari Court PJS 8 yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima suntikan vaksin jenis Pfizer BioNtech hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri melalui Pejabat Kesihatan Daerah Petaling turut menyediakan beberapa kemudahan lain seperti Klinik Bergerak dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) untuk penduduk di sini.

“CAC dalam PKPD ini merupakan yang pertama diadakan di Malaysia. Mana-mana kes positif yang memerlukan rawatan lanjut akan dihantar ke hospital. Untuk kes positif yang tidak bergejala akan dikuarantin di rumah dan yang bergejala akan dihantar ke pusat kuarantin.

“Kita sasarkan sehingga Jumaat ini seramai 8,000 penduduk akan selesai menerima suntikan vaksin. Mereka yang divaksin ini adalah daripada kalangan individu yang mana keputusan saringan mereka negatif selepas disaring.

“Langkah ini juga dilaksana bagi memastikan penularan wabak dalam komuniti ini dapat diputuskan sekali gus mengelak PKPD berulang. Kita harap penduduk boleh beri kerjasama dalam membantu mengurangkan jumlah kes,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan program pemberian vaksin kepada penduduk di Pangsapuri Mentari Court PJS 8 hari ini.

Menurut Amirudin, proses pemberian vaksin adalah inisiatif dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.

Penduduk Mentari Court menjadi kumpulan pertama dalam negeri ini menerima vaksin dalam kawasan PKPD. Perumahan itu dikenakan kawalan ketat selepas lebih 500 kes Covid-19 dikesan.

Perintah kawalan turut dikenakan ke atas Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS dalam tempoh berkenaan.


Pengarang :