Pengguna Bas Smart Selangor mengimbas kod QR aplikasi CEPat serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak sebelum menaiki pengangkutan awam itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, Shah Alam pada 1 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

23 laluan Bas Smart Selangor mudahkan rakyat ke pusat vaksin

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kerajaan Negeri menyediakan 23 laluan Bas Smart Selangor ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memudahkan orang ramai menerima suntikan.

EXCO pengangkutan awam berkata laluan tersebut membabitkan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Klang.

Selain itu, Ng Sze Han berkata turut terlibat Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor.

“Setakat ini kita tiada data bilangan penumpang yang khusus menaiki bas untuk ke PPV tetapi sambutan diterima menggalakkan berdasarkan makluman operator bas.

“Inisiatif ini secara tidak langsung memudahkan rakyat yang tiada pengangkutan di samping membantu kerajaan mencapai sasaran imuniti kelompok,” katanya kepada SelangorKini.

Sze Han berkata pihak berkuasa tempatan juga sedang mengkaji laluan tambahan bersesuaian berpandukan pembukaan beberapa cawangan PPV baharu selepas ini.

Orang ramai boleh mendapat maklumat lanjut dengan memuat turun aplikasi Smart Selangor SITS di Apple App Store atau Google Play bagi kemudahan melihat jadual perjalanan lebih tepat.


Pengarang :