Petugas kesihatan memberi suntikan secara pandu lalu kepada kakitangan Sirim bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Industri di ibu pejabat Sirim, Shah Alam pada 31 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

90,000 pekerja dapat vaksin negeri dalam tempoh sebulan

SHAH ALAM, 31 JULAI: Seramai 90,000 pekerja di seluruh negeri menerima manfaat daripada program Vaksin Selangor (Selvax) Industri yang diperkenal Kerajaan Negeri.

Ketua pegawai eksekutif kumpulan Selgate Corporation berkata jumlah kakitangan membabitkan 800 syarikat direkodkan dalam tempoh sebulan selepas program dilancarkan pada 26 Jun.

“Syarikat berkenaan terdiri dari pelbagai jenis industri. Ketika ini kita sedang proses kelulusan 3,000 syarikat. Pada masa sama, terdapat 32,000 lagi syarikat yang mendaftar.

“Majikan juga sedang kenal pasti jumlah pekerja yang akan sertai kerana ada yang terima janji temu daripada aplikasi MySejahtera,” kata Noor Hisham Mohd Ghouth pada sidang media program Vaksinasi Pandu Lalu Sirim-Selvax di ibu pejabat Sirim Berhad di sini hari ini.

Beliau berkata beberapa syarikat yang beroperasi di Johor, Penang, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak turut berminat menyertai program berkenaan.

Bagaimanapun, Noor Hisham menjelaskan Selvax tidak dibuka ke negeri lain, sebaliknya hanya menumpukan pekerja yang berkhidmat di Selangor.

Kerajaan Negeri menyediakan dua juta dos vaksin kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai menerusi https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.


Pengarang :