Petugas kesihatan menjalankan ujian calitan kepada orang ramai dalam Saringan Komuniti Covid-19 Fasa 3 Percuma DUN Kajang di Dewan Seri Cempaka, Kajang pada 26 Jun 2021. Foto ASRI SAPFIE/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Doktor kontrak sertai protes tidak dikenakan tindakan – Menteri

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kerajaan tidak akan mengenakan tindakan disiplin terhadap pegawai perubatan kontrak susulan protes Hartal Kontrak semalam.

Menteri kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memberi jaminan berkenaan susulan desakan ramai ahli parlimen termasuk bekas menteri kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada hari kedua Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.

“Tiada tindakan akan dikenakan ke atas mereka walaupun mereka keluar untuk demonstrasi.

“Kita tidak akan ambil tindakan, mereka berhak menyertai perhimpunan berkenaan,” katanya ketika menggulung sesi penerangan pada sidang khas berkenaan.

Semalam, pegawai perubatan kontrak di hospital di beberapa negeri terbabit dalam Hartal Doktor Kontrak atau mogok umum dengan keluar beramai-ramai dari premis kesihatan tempat mereka bekerja tepat pukul 11 pagi.

Mereka bertegas dengan tuntutan, iaitu jaminan pelantikan tetap bagi doktor kontrak dan baharu, hak gaji serta kebajikan sama rata dengan doktor tetap, termasuk cuti dan faedah.


Pengarang :