Orang kurang upaya (OKU) mencuba laluan baru yang dibina Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Pusat Perniagaan USJ 10, Subang Jaya pada 24 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 4,000 OKU mohon bantuan khas RM500 sejak 1 Julai

SHAH ALAM, 8 JULAI: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menerima sebanyak 4,264 permohonan insentif RM500 yang dikhususkan kepada golongan kurang upaya (OKU).

Pengurus Besarnya Gan Pei Nei berkata permohonan mulai 1 Julai melepasi sasaran 1,200 orang dan akan diproses untuk diagihkan kepada individu yang layak.

“Kita akan proses ikut siapa yang hantar dahulu dokumen lengkap. Setakat ini kita dapati sebahagian besar tidak dapat hantar dokumen lengkap berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat di beberapa kawasan negeri ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata permohonan dibuka sehingga hujung bulan ini meskipun sudah melebihi kuota dan agihan bantuan dibuat selepas tamat tempoh berkenaan.

“Kita akan pantau setiap minggu permohonan ini bagi membincangkan isu berbangkit. Yawas akan mohon peruntukan tambahan kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan jika ada keperluan,” katanya.

Insentif sekali bayar dengan peruntukan RM600,000 merupakan sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 9 Jun.

Bantuan itu dikhususkan untuk golongan OKU yang terjejas sumber pendapatan, hilang pekerjaan tetap atau pengurangan gaji akibat wabak Covid-19.

Syarat kelayakan termasuk warganegara, berusia 18 tahun ke atas dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Permohonan perlu dibuat secara dalam talian melalui pautan https://www.anisselangor.com/bantuanoku atau hubungi talian 018-2567093/018-2356213 untuk pertanyaan lanjut.


Pengarang :