Exco Kerajaan Negeri Rodziah Ismail (dua, kiri) menyerahkan kendera saji kepada penerima Kohijrah di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 10 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Moratorium pinjaman Hijrah dijangka dilanjut enam minggu lagi

SHAH ALAM, 24 JULAI: Moratorium bayaran pinjaman secara automatik kepada semua peminjam Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dijangka dilanjutkan enam minggu lagi.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata inisiatif itu wajar dipertimbangkan berikutan masih ramai peminjam yang masih terjejas pendapatan akibat Covid-19.

“Jika diikutkan, tarikh tamat penangguhan bayaran pinjaman pada akhir bulan ini, jadi kita akan beri sedikit kelonggaran dan angkat semula (cadangan penangguhan) mungkin enam minggu.

“Trend jangkitan Covid-19 sekarang semakin membimbangkan dan saya yakin walaupun peniaga sudah diberi ruang vaksin namun ekonomi bukan boleh pulih sekelip mata,” katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau program Selvax Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De’ Palma Seksyen 19 semalam.

Sementara itu, Rodziah berkata Hijrah berjaya menyediakan pembiayaan lebih RM80 juta kepada peniaga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga 3.0 meskipun tidak dapat membuat kutipan pinjaman.

“Kerajaan Negeri ingin melihat mereka terus berniaga, sekiranya ada masalah modal ini peluang untuk mereka buat pinjaman tambahan,” katanya lagi.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 40,000 usahawan Hijrah diberi moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 membabitkan impak kewangan berjumlah RM11.35 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan tambahan berjumlah RM80 juta turut disalurkan bagi membantu 8,000 usahawan melalui modal awalan yang dikhususkan kepada individu hilang kerja akibat PKP.


Pengarang :