Pegawai Daerah Petaling, Dato’ Johary Anuar (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Persatuan Penduduk, Md Khairulnizad Abu Baka (kiri) sebaik pengumuman penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dua hari lebih awal di Pangsapuri Mentari Court PJS8, Petaling Jaya pada 13 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Penduduk Mentari Court rakam penghargaan kepada semua terbabit PKPD

PETALING JAYA, 13 JULAI: Penduduk Mentari Court, PJS 8 dekat sini mengucapkan terima kasih kepada semua agensi terbabit sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksana.

Pengerusi perbadanan pengurusannya berkata walaupun perintah kawalan itu membabitkan jumlah yang ramai namun segala proses termasuk saringan dan vaksinasi berjalan lancar hasil kerjasama semua agensi.

“Mulanya kami semua takut bila dikenakan PKPD kerana segalanya terhad dan sukar terutama dalam agihan makanan dan vaksin.

“Tetapi mereka memainkan peranan masing-masing. Semua berkerjasama hinggakan penduduk berasa senang dan mudah dalam semua urusan,” kata Md Khairulnizad Abu Baka.

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuka kawat duri susulan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Mentari Court PJS8, Petaling Jaya pada 13 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata disebalik PKPD terbabit, penduduk juga bersyukur kerana terpilih menerima vaksin lebih awal.

“Inilah hikmah PKPD kepada kami. Saya nasihatkan kepada masyarakat yang dikenakan perintah ini supaya jangan takut.

“Tindakan ini sangat bagus kerana mampu mengekang wabak sekali gus memastikan diri dan keluarga kita dilindungi,” katanya.

Pada 1 Julai lebih 17,000 penduduk di situ dikenakan PKPD selama 14 hari selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan lebih 500 kes positif Covid-19.

Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin mengumumkan penamatan PKPD sehari lebih awal di kawasan berkenaan.

Penduduk Mentari Court juga menjadi kumpulan pertama dalam negeri ini menerima vaksin dalam kawasan PKPD.


Pengarang :