Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal laluan keluar masuk di sekitar kawasan Mentari Court ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 1 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPD: Penduduk Mentari Court diberi vaksin hujung minggu ini

PETALING JAYA, 1 JULAI: Penduduk Mentari Court, PJS 8 dekat sini menjadi kumpulan pertama dalam negeri ini menerima vaksin dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Pegawai Daerah Petaling Dato’ Johary Anuar berkata proses suntikan vaksin dijadual bermula Ahad selepas semua penduduk termasuk warga asing selesai menjalani saringan.

Menurutnya langkah itu diambil bagi mengelakkan perebakan terus berlaku sekali gus melindungi komuniti kawasan berkenaan.

“Kerajaan Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bersetuju memvaksin penduduk termasuk kontak rapat yang disahkan negatif. Cara ini juga merupakan usaha mempercepatkan kadar vaksinasi negeri.

“Penduduk yang telah menerima tarikh divaksin boleh membatalkan janji temu. Kita akan suntik semua penduduk di sini, bagaimanapun jenis vaksin belum ditentukan sama ada Pfizer atau Sinovac,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan.

Bermula hari ini, Mentari Court dikenakan PKPD selama 14 hari selepas merekodkan jangkitan tinggi.

Kerajaan juga mengenakan PKPD di Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS.


Pengarang :