Anggota polis dari unit kereta peronda (MPV) IPD Sepang menyampaikan bungkusan makanan kepada pekerja kilang. Foto ihsan Facebook IPD Sepang
AGENSISELANGOR

Polis Sepang bantu 14 pekerja kilang kehabisan bekalan makanan

SHAH ALAM, 4 JULAI: Polis Sepang mengambil pendekatan segera dengan menghulurkan bantuan bekalan makanan kepada 14 individu di Taman Bunga Raya, Sepang, malam tadi.

Menerusi perkongsian di Facebook, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menerima panggilan daripada seorang wanita memaklumkan adiknya yang tinggal bersama 13 rakan sekerja kehabisan bekalan makanan kerana dikuarantin.

“Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengambil tindakan susulan dengan mengarahkan anggota supaya bantuan makanan segera dihantar ke rumah tersebut,” katanya.

Susulan itu anggota dari unit kereta peronda (MPV) telah menghantar 16 bungkusan makanan kepada penghuni rumah berkenaan yang juga pekerja kilang.

Semalam, Polis Selangor memaklumkan akan membantu golongan terkesan akibat pandemik Covid-19 khususnya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata arahan dikeluarkan kepada ketua balai dan anggota untuk memberi bantuan segera.


Pengarang :