Selangorkini
Bahagian Persediaan Atlet mengadakan Program “Mind Set Atlet Semasa Pandemik Covid-19” bersama 100 peserta terdiri daripada atlet dan jurulatih kontinjen Selangor. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Program motivasi reda tekanan, suntik semangat atlet Selangor

SHAH ALAM, 5 JULAI: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menganjurkan program motivasi secara dalam talian bagi menyuntik semangat atlet untuk terus berlatih sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengarah eksekutifnya berkata aktiviti setiap minggu bermula Mei lalu turut membolehkan golongan terbabit berkongsi pandangan dan masalah dihadapi berikutan sekatan berlatih di luar ketika ini.

“Program motivasi dianjurkan bagi memastikan atlet terus berlatih walau dalam waktu yang sukar ini. Kita peka dengan tekanan dihadapi semua tambahan Selangor memasuki fasa PKPD mulai 3 Julai.

“Kebanyakannya terpaksa kekal berlatih di rumah kecuali mereka yang menjalani latihan secara berpusat di bawah program Majlis Sukan Negara,” kata Mohamad Nizam Marjugi hari ini.

Beliau menjelaskan atlet turut diingatkan supaya kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) berikutan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

“Buat masa ini kita akan terus patuh kepada arahan dan akan menunggu perkembangan terbaharu dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) terhadap aktiviti sukan,” katanya.

MKN memutuskan semua aktiviti sukan tidak dibenarkan di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur sepanjang PKPD yang dijdualkan berlangsung sehingga 16 Julai.


Pengarang :