AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor terima sejuta lagi dos vaksin jayakan Selvax, Pikas

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kerajaan persekutuan bersedia memperuntuk sejuta dos vaksin kepada Selangor melibatkan keperluan sektor pembuatan dan industri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut bagi menjayakan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dan Program Vaksin Selangor (Selvax).

“Saya telah berhubung dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dan beliau setuju untuk menyediakan sejuta dos vaksin…setiap unit akan menerima lebih kurang 500,000 dos vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung menerusi Agenda Awani bertajuk Mengurus Peningkatan Kes Di Selangor di Astro Awani, malam tadi.

Pada masa sama, Amirudin menjelaskan Selangor berjaya mencapai pemberian vaksin tertinggi dengan jumlah 2,187,587 dos sehingga 13 Julai.

“Angka ini meliputi 46 peratus daripada jumlah yang sepatutnya populasi dewasa 18 tahun ke atas di Selangor. Manakala, individu yang telah lengkap kedua-dua dos pula telah mencecah 11.45 peratus.

“Ini merupakan lonjakan besar kerana kita telah meningkatkan jumlah pemberian vaksin harian di Selangor. Semalam (13 Julai) 98,000 dos sehari berbanding 15 Jun hanya 43,000. Ini adalah pencapaian tertinggi di Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyelar dakwaan segelintir pihak yang menyatakan Selangor lambat dalam pemberian vaksin dan menyifatkan kenyataan tersebut agak rapuh.

“Fakta itu sebelum Julai, selepas Julai kita telah meningkatkan keupayaan malahan penggunaan vaksin hingga 78 peratus. Saya yakin kita boleh mencapai 80 peratus imuniti kelompok menjelang September,” katanya.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi melengkap dan mempercepatkan proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Maklumat berkaitan program itu boleh dicapai menerusi https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.


Pengarang :