Sukarelawan PPV, membantu penerima vaksin mendaftar dan mengisi borang persetujuan ketika program vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sebaguna MBSJ Puchong Indah, Subang Jaya pada 26 Julai 2021. FOTO HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Selvax Komuniti: Lebih 1,000 penduduk Kinrara dijangka terima suntikan

PUCHONG, 27 JULAI : Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara menjangkakan lebih 1,000 penduduk akan hadir bagi mendapatkan suntikan pelalian di bawah Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti hari ini.

Ng Sze Han berkata program bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu akan diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Aurora Place, Bukit Jalil.

“Kita telah hantar nama penerima yang layak menerima suntikan Selvax kepada pihak Selcare dan mereka akan menyampaikan info untuk penduduk menerusi mesej. Harap mereka yang dapat janji temu itu hadir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin Puchong Indah di Dewan Serbaguna MBSJ, di sini, semalam.

Sze Han berkata setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima 2,500 peruntukan dan beliau akan menggunakan lebihan itu untuk diberi kepada pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM).

“Kita peruntuk dos Selvax untuk esok kira-kira 1,000 dos dan lebihan itu akan diberi kepada kakitangan KDEBWM terutama yang bekerja di lapangan dan belum menerima vaksin,” katanya.

Selvax Komuniti bakal memanfaatkan 250,000 penduduk Selangor khususnya warga emas dan OKU membabitkan 500,000 dos.

Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai dengan melayari laman sesawang http://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600.


Pengarang :