Rodziah Ismail bercakap kepada media selepas menyerahkan geran peralatan program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) Yayasan Hijrah Selangor di Taman Melur, Ampang pada 14 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

17,000 usahawan Selangor dapat data internet percuma mulai Oktober

AMPANG, 14 OGOS: Seramai 17,000 usahawan negeri ini disasar menikmati kad modul pengenalan pelanggan (SIM) yang dilengkapi data internet percuma selama setahun mulai Oktober.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata inisiatif itu memudahkan golongan terbabit menjalankan perniagaan secara dalam talian sekali gus meningkatkan jualan.

“Ketika ini permohonan masih dibuka dan tarikh tutup pada 15 September. Jadi, peniaga jangan lepaskan peluang untuk memohon sama ada melalui laman sesawang Platform Selangor atau pejabat saya.

“Sekurang-kurangnya peniaga tidak perlu lagi berkongsi internet dengan keluarga atau perniagaan tertangguh disebabkan kehabisan data,” katanya selepas menyerahkan geran peralatan program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) di sini hari ini.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 70,000 rakyat Selangor akan menerima kad SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Beliau berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) dan Universiti Selangor (Unisel).

Manfaat tersebut turut dinikmati pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

 


Pengarang :