Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada warga asing yang hadir tanpa janji temu dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sementa di Hotel De Palma Shah Alam pada 11 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

80 peratus dapat vaksin, ADN yakin Selangor ke fasa dua bulan depan

SHAH ALAM, 25 OGOS: Wakil rakyat negeri ini yakin Selangor mampu beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada September susulan jumlah suntikan vaksin yang tinggi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang berkata kadar vaksinasi yang kini lebih 80 peratus berjaya mengurangkan bilangan kes harian dan kemasukan pesakit ke hopsital.

“Walaupun dalam tempoh beberapa hari ini kes menurun tetapi semua pihak perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) kerana jangkitan boleh berlaku walaupun telah menerima vaksin.

“Saya percaya jika kita terus menitikberatkan SOP, dalam beberapa minggu lagi Selangor akan beralih ke fasa seterusnya,” kata Chua Wei Kiat ketika ditemui.

Wakil rakyat Meru pula berpandangan kesedaran terhadap bahaya Covid-19 dan mahu menerima vaksin membantu Selangor mengatasi bilangan kes yang tinggi.

Bagaimanapun, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar bimbang jika terdapat golongan yang merahsiakan jangkitan dan tidak membuat saringan yang boleh menjadi ‘bom jangka’ kepada Selangor.

“Kita lihat Negeri Sembilan sudah beralih ke fasa dua tetapi di Selangor berbeza kerana kepadatan penduduk yang ramai, pendatang asing pun ramai jika dibandingkan dengan negeri lain.

“Kejayaan beralih fasa ini akan berlaku jika penurunan seminggu ke dua minggu secara konsisten dan kita yakin perubahan itu akan berlaku dalam tempoh beberapa minggu lagi,” katanya.

Tiga indikator perlu dipatuhi setiap negeri bagi membolehkan peralihan ke fasa dua PPN termasuk purata kes harian Covid-19 bawah 4,000, penggunaan katil unit rawatan rapi sederhana dan kadar vaksin dua dos mencapai 10 peratus.

 


Pengarang :