Anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan polis melakukan operasi pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di premis perniagaan dan kilang sekitar Taman Perindustrian Seri Kembangan pada 22 Julai 2021. Foto MBSJ
ADNSELANGOR

Tetapkan SOP kilang cegah jangkitan lebih serius

SHAH ALAM, 25 OGOS: Kerajaan Negeri dicadang menetapkan tatacara operasi piawai (SOP) kilang bagi mengekang penularan Covid-19 selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Wakil rakyat Kota Damansara berkata kegagalan menyediakan SOP ketat dalam kalangan pekerja sehingga mencetuskan gelombang ketiga wabak Covid-19 perlu dipandang serius.

“Tidak boleh tidak, kita berdepan dengan pekerja asing dan ada jutaan yang tidak berdaftar. Kita telah mendengar ramai penduduk menyalahkan Kerajaan Negeri kerana tidak menutup kilang.

“Rakyat masih tertanya-tanya siapa ada kuasa untuk menutup kilang dan akhirnya berdepan dengan pekerja yang kita tidak tahu masalah dokumen dan sudah divaksin atau tidak,” kata Shatiri Mansor.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah ucapan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau turut mencadangkan Kerajaan Negeri mewujudkan jawatankuasa melalui pelan rekalibrasi untuk memantau pekerja asing terutama membabitkan pemberian vaksin.

“Saya cadangkan program rekalibrasi dibuat bersama persekutuan untuk mengenal pasti pekerja yang berdaftar sama ada mempunyai dokumen atau tidak.

“Jika mereka tiada dokumen, mereka diberi peluang untuk diputihkan atau jika tidak diuruskan untuk dibawa pulang ke negara asal,” kata Shatiri.


Pengarang :