Orang awam yang disyaki positif Covid-19 hadir pada awal pagi bagi melakukan penilaian kesihatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang pada 2 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN: Elak singgah gerai, pasar selepas hadir pusat penilaian Covid-19

SHAH ALAM, 10 OGOS: Pesakit Covid-19 digesa terus pulang ke rumah selepas mendapatkan perkhidmatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang.

Wakil rakyatnya Azmizam Zaman Huri berkata mereka diingatkan tidak mengunjungi gerai atau pasar berhampiran bagi mengelak risiko berlaku jangkitan wabak.

“Sejak CAC itu beroperasi, peniaga merungut perniagaan mereka merosot disebabkan kekurangan pelanggan, walaupun kita tahu peniaga ini memang sudah terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mungkin orang ramai bimbang sekiranya individu positif singgah di pasar berkenaan, apatah lagi mereka perlu melalui pekan Pelabuhan Klang untuk sampai ke CAC,” katanya ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Sementara itu, Azmizam berkata pusat penilaian terbabit kembali beroperasi pada 8 Ogos, sehari selepas insiden runtuhan khemah akibat ribut.

“Kerosakan tidak melibatkan ruang dalam dewan tetapi hanya khemah yang ditempatkan di luar. Kerja membaik pulih enam khemah yang rosak segera dilakukan bagi memastikan kelancaran operasi,” katanya.

CAC berkenaan memulakan operasi pada 30 Julai lalu selepas dipindahkan dari Dewan Sukan Taman Sri Andalas susulan bantahan penduduk setempat.

CAC ditubuhkan Kementerian Kesihatan Malaysia pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.


Pengarang :