Pelumba basikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang ketika beraksi dalam peringkat pusingan kelayakan acara pecut di Veledrom Izu pada 4 Ogos 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Azizulhasni, Shah Firdaus harapan akhir Malaysia di Olimpik Tokyo

Oleh Elmi Rizal Elias

TOKYO, 8 OGOS: Hari terakhir, peluang terakhir.

Setelah hanya meraih satu pingat gangsa ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020 bakal melabuhkan tirai pada Ahad (8 Ogos), kontinjen Malaysia mengharapkan kayuhan menakjubkan daripada jaguh lumba basikal negara Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk menghadirkan pingat, hari ini.

Aksi kedua-dua pelumba negara itu pastinya mendebarkan jutaan peminat sukan tanah air apabila mereka dijadual turun bagi memburu pingat, sekali gus merealisasikan sasaran tiga pingat buat Malaysia pada temasya Olimpik kali ini.

Azizulhasni, 33, dan Muhammad Shah Firdaus, 25, mengesahkan slot di peringkat suku akhir acara keirin selepas masing-masing melepasi cabaran pusingan pertama di Velodrom Izu, Shizuoka, kira-kira 175km dari bandar raya ini, semalam.

Sekiranya kedua-dua pelumba berkenaan melepasi saingan di suku akhir pagi esok (hari ini), mereka akan bersaing di peringkat separuh akhir dan final yang akan berlangsung pada hari yang sama.

Berbekalkan pengalaman dan reputasi cemerlang meraih pingat gangsa pada temasya Olimpik 2016 di Rio, seluruh rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi agar Azizulhasni mampu menghadiahkan sebutir pingat terutamanya pingat emas pertama negara di temasya Olimpik.

Begitu juga, Muhammad Shah Firdaus, selepas bangkit menampilkan kayuhan bertenaga untuk mara ke peringkat suku akhir walaupun terbabit dalam kemalangan pada saringan kedua acara keirin hari ini, aksi pelumba kelahiran Muar, Johor itu sekali lagi ditagih untuk menyumbangkan pingat buat negara.

Terdahulu dalam saingan pusingan awal semalam, Azizulhasni mengungguli pusingan pertama saringan tiga untuk melangkah ke suku akhir dengan penuh bergaya tanpa perlu melalui repechages, seperti yang dilaluinya dalam acara pecut.

Sementara Muhammad Shah Firdaus yang terbabit dalam kemalangan pada saringan kedua, bangkit menampilkan kayuhan bertenaga untuk mara ke suku akhir selepas menduduki tempat kedua dalam Saingan Satu pusingan pertama repechages di belakang Kwesi Browne dari Trinidad and Tobago.

Kejayaan itu menyaksikan pelumba berumur 25 tahun itu melakar perkembangan membanggakan dalam penampilan sulungnya dalam acara keirin Olimpik, terutama apabila beliau ‘terselamat’ di Saringan Dua pusingan pertama selepas berlanggar dengan Jack Carlin dari Great Britain.

Detik yang mencemaskan sejurus pelumba basikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom terjatuh apabila berlaga dengan pesaingnya dalam pelumbaan peringkat saringan keirin pada temasya sukan Olimpik Tokyo 2020 di Izu Velodrome, Shizuoka pada 7 Ogos 2021. Foto BERNAMA

Kemalangan itu turut menyaksikan Muhammad Shah Firdaus mengalami kecederaan bahu kiri akibat perlanggaran dan terpaksa menarik diri daripada perlumbaan yang dimulakan semula, dan mengharungi cabaran dalam saingan repechages.

Dalam saingan suku akhir, Azizulhasni berada dalam Saringan Tiga bersama Matthew Glaetzer dari Australia, Stefan Boetticher (Jerman), Yuta Wakimoto (Jepun), Denis Dmitriev (Jawatankuasa Olimpik Rusia) dan Kwesi Browne dari Trinidad and Tobago.

Sementara, Muhammad Shah Firdaus akan bersaing dengan Carlin di Saringan Dua bersama Maximilian Levy (Jerman), Callum Saunders (New Zealand), Jair Tjon En Fa (Suriname) dan Nicholas Paul dari Trinidad and Tobago.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai perubatan kontinjen negara bahawa Muhammad Shah Firdaus berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami patah tulang rusuk seperti dilaporkan sebelum ini.

“Saya berada di sana (Velodrom Izu), pelanggaran yang berlaku itu impaknya kelihatan begitu menakutkan. Namun, kesungguhan Shah Firdaus bangkit semula dalam repechages dan akhirnya mara ke suku akhir, sebenarnya satu kekuatan yang ditunjukan oleh beliau.

“Di dalam ambulans pun dia masih minta dia nak turun bertanding. Tapi apa pun bagi saya, keselamatan dan keadaan kesihatan Shah Firdaus adalah keutamaan,” katanya dalam klip video yang dikongsikan kepada media daripada pejabat Menteri Belia dan Sukan.

Sementara itu, Muhammad Shah Firdaus dalam Instagramnya menyatakan beliau dalam keadaan baik dan berjanji akan mempamerkan prestasi terbaik pada perlumbaan hari ini.

Sementara itu, di Kasumigaseki Country Club, pemain golf wanita negara Kelly Tan mempamerkan persembahan baik untuk menduduki tempat ke-34 keseluruhan pada hari terakhir kempennya di Sukan Olimpik Tokyo semalam.

Keputusan itu bermakna Kelly berjaya memperbaiki rekod dalam penampilan kedua beliau pada Sukan Olimpik, selepas menduduki tempat ke-51 di Rio 2016.

Pemain golf berumur 27 tahun itu menamatkan saingan pusingan akhir dalam acara individu wanita dengan mendaki 14 anak tangga daripada kedudukan semalam, untuk berkongsi kedudukan di tempat ke-34 dengan Min Lee dari Taiwan, Celine Boutier (Perancis) dan Pia Babnik (Slovakia).

Setakat ini, Malaysia hanya meraih satu pingat gangsa menerusi pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang juga pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo, dalam acara beregu badminton lelaki.

– BERNAMA


Pengarang :