Petugas kesihatan memberi suntikan kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Bukit Melawati di Dewan MDKS, Bandar Baru, Kuala Selangor pada 1 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kadar pemberian vaksin di Selangor lebih 65 peratus

AMPANG, 1 OGOS: Kadar pemberian vaksin Covid-19 di Selangor kini mencecah lebih 65 peratus setakat semalam, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu hasil Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), tidak termasuk pemberian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax).

“Untuk Selvax lebih 170,000 dos manakala PICK pula 65 peratus setakat semalam dan Insya-Allah esok atau lusa data ini akan dicampurkan.

“Saya jangkakan hujung Ogos ini 25 peratus penduduk di Selangor akan lengkap menerima dua dos suntikan pelalian.

“Sekiranya mencecah 50 peratus individu negeri ini lengkap dos vaksin saya fikir kes Covid-19 mungkin akan berkurangan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui ketika membuat tinjauan ke program Selvax Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang di Dewan MPAJ AU5, Keramat di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Amirudin turut menasihatkan kepada individu yang lengkap dos untuk terus kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan sentiasa menjaga penjarakan dan memakai pelitup muka.

Amirudin hari ini turut membuat tinjauan di empat pusat pemberian vaksin lain iaitu Dewan Majlis Bandar Baru, Kuala Selangor; Dewan MPAJ Pandan Indah; Galaxy Ampang Mall dan Kampus UniKL BMI, Batu 8 Jalan Sungai Pusu, Gombak.


Pengarang :