Kumpulan Caliph Buskers membuat persembahan pada program Vaksin Selangor (Selvax) di pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 21 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kita Buskers Selangor diperluas ke pusat beli-belah, pejabat awam

PETALING JAYA, 21 OGOS: Projek Kita Buskers Selangor bakal diperluas ke beberapa lokasi antaranya pusat beli-belah dan pejabat awam, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah berkata pendekatan lanjut sedang dibincangkan bagi membantu pemuzik jalanan atau busker menjana pendapatan sepanjang pandemik.

“Konsep yang digunakan sama seperti di pusat pemberian vaksin (PPV) antaranya dua sesi di setiap PPV dan setiapnya melibatkan dua busker.

“Ini sebahagian inisiatif kerajaan Negeri untuk membantu golongan yang terkesan akibat Covid-19 kerana bergantung sepenuhnya dengan bermain muzik di tempat awam,” katanya selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) di PPV Tropicana Gardens Mall di sini hari ini.

Pada 7 Ogos, Borhan berkata Kerajaan Negeri membela nasib busker dengan menempatkan mereka di PPV terpilih termasuk empat PPV mega bawah persekutuan.

Setakat ini, seramai 720 pemuzik jalanan dibantu melalui projek tersebut dengan peserta menerima sejumlah wang sagu hati selain kutipan awam bagi meneruskan kehidupan.

Projek selama sebulan mulai 15 Ogos membabitkan PPV Bangi Avenue, Sunway, Dewan MBPJ, MSU
Shah Alam, Tanjung Sepat dan Gombak.


Pengarang :