Penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berada di pekarangan Dewan Rakyat bagi memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sidang khas Parlimen pada 29 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lagi tiga kes Covid-19 dikesan, 88 positif dalam sidang khas Parlimen

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Sejumlah 88 kes positif Covid-19 dikenal pasti sehingga kini termasuk penambahan tiga kes baharu berkaitan dengan Mesyuarat Khas Parlimen baru-baru ini, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Semalam, beliau memaklumkan sebanyak 85 kes positif dikesan berkaitan mesyuarat yang diadakan pada 26 Julai sehingga 29 Julai lepas itu, termasuk 17 kes berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat melibatkan individu yang hadir ke sidang dan kontak rapat kes positif.

Menerusi kenyataannya hari ini, beliau berkata tiga kes baharu itu adalah berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes dikesan berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat sebanyak 20 kes (sehingga 8 Ogos, pada 6.45 petang).

“Tiga kes baharu tersebut telah dilaporkan pada 7 Ogos dan mempunyai nilai kitaran ambang atau ‘CT value’ RT-PCR antara 19.15 sehingga 22.27 (bermaksud kadar kebolehjangkitan yang tinggi).

“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan jujukan genom penuh dan masih menunggu keputusan akhir. Kesemua mereka mempunyai gejala ringan dan sebelum ini telah pun mendapat vaksin lengkap,” katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan siasatan mengenal pasti kontak rapat kes semasa persidangan diteruskan Pejabat Kesihatan Daerah berkenaan.

Hasil siasatan mendapati kes berkenaan telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan kuarantin kendiri setelah pulang dari sidang Parlimen agar tidak menjangkiti ahli keluarga.

Kes yang dilaporkan itu disahkan hasil ujian RT-PCR, dengan 56 kes dikenal pasti hasil saringan PraDewan Rakyat dan empat kes kontak rapat manakala lapan kes lagi daripada saringan PraDewan Negara.

Beliau turut menasihati individu yang hadir ke Parlimen supaya terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera dan mendapatkan rawatan segera serta menjalani ujian saringan Covid-19 sekiranya bergejala.

-BERNAMA


Pengarang :