Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama sebahagian penerima dalam program Serahan Sumbangan Barangan Basah kepada Ketua-ketua Kampung dan Ahli Majlis di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 15 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih RM200,000 dibelanja, sedia pek makanan di DUN Sungai Tua

GOMBAK, 15 OGOS: Lebih RM200,000 dibelanjakan untuk menyediakan bakul makanan kepada keluarga terjejas akibat Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua setakat ini, sejak Januari.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meliputi keperluan perubatan dan pendidikan seperti pemberian komputer riba.

“Lebih RM200,000 disediakan untuk bakul makanan sahaja. Macam hari ini kita dapat sumbangan daripada pihak lain yang kita tambah lagi bagi membantu lebih ramai penduduk,” kata Dato Seri’ Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan makanan kepada wakil penduduk sekitar Gombak.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata bantuan barang basah dan kering kepada 2,000 keluarga itu disumbangkan Tenaga Nasional Berhad, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Kelab Lions Selangor.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan setiap DUN menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.


Pengarang :