Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah), bersama Ahli Dewan Negeri Selangor (ADN) Sentosa, Dr Gunarajah George (kanan) dan Pengasas Persatuan Kebajikan Love and Care Selangor, Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng (dua, kiri), menyampaikan bantuan makanan asas kepada penduduk pada program pengedaran barangan asas anjuran DUN Sentosa di Taman Sri Mewah, Klang pada 14 Ogos 2021.Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pandemik Covid-19 cetus kesepaduan rakyat, bantuan kepada semua bangsa

SHAH ALAM, 17 OGOS: Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu memberi impak daripada aspek menyatupadukan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata walaupun Covid-19 dianggap musibah namun ia merupakan detik perpaduan dalam negara.

Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong memberi contoh di pusat pemberian vaksin (PPV) dapat dilihat petugas kesihatan dan sukarelawan terdiri daripada pelbagai kaum tetapi tidak nampak perbezaan diskriminasi antara mereka.

“Ini juga dapat dilihat daripada program pemberian bakul makanan yang mana badan bukan kerajaan membantu sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

“Pandemik memang musibah tetapi menyatupadukan semua dan ini detik-detik perpaduan dalam negara. Kita banyak berpecah tetapi pandemik tidak dinafikan ia detik perpaduan selain sukan dan sebagainya,”katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bual Bicara: Perang dan Merdeka Era Pandemik yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV malam tadi.

Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara sedikit menurun kepada 19,631 kes berbanding 19,740 semalam, menurut ketua pengarah kesihatan.

Data dikongsi Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook menunjukkan jangkitan di Selangor kekal pada paras 5,000 iaitu 5,753 kes.


Pengarang :