EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berucap ketika majlis pelancaran Selangor Youth Skills 2021 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 20 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pengarah Polis Evo sokong belia sertai program cungkil bakat negeri

SHAH ALAM, 21 OGOS: Golongan belia disaran mengambil peluang menyertai pertandingan mencungkil bakat dan idea melalui Selangor Youth Skills (SYS) 2021.

Pengarah filem terkenal Ghaz Abu Bakar berkata acara itu titik permulaan kepada karier golongan muda yang terlibat dalam industri kreatif.

“Terdapat 10 sektor kemahiran dan mereka perlu memfokuskan kepada filem dan video pendek sahaja. Golongan belia boleh mempertimbang sektor kemahiran lain yang menjadi kepakaran mereka.

Ghaz Abu Bakar bercakap kepada media selepas majlis pelancaran Selangor Youth Skills 2021 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 20 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya membuat hebahan menerusi Whatsapp dan majoriti teruja untuk menyertainya,” katanya yang mengarah filem pecah panggung Polis Evo dan Cicakman 3.

Dekan Pengurusan Universiti Multimedia Dr Mohd Fairuz Abd Rahim berkata pertandingan anjuran Kerajaan Negeri membantu meningkatkan kreativiti belia.

“Peringkat universiti sendiri kita mementingkan kepakaran dalam setiap individu dan menyokong projek yang dapat membantu kemampuan belia.

“Bagi pertandingan ini empat fakulti turut serta dalam pertandingan iaitu pemasaran, animasi, filem pendek dan hackathon,” katanya.

Majlis Pelancaran SYS 2021 dirasmikan EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Program bertemakan Inovasi Sukan Masa Hadapan mempertandingkan 10 sektor kemahiran iaitu filem dan video pendek, teknologi seni bina, hackathon, gubahan lagu, pembuatan perabot, teknologi grafik, ciptaan animasi, teknologi fesyen,reka bentuk terrarium dan pemasaran sosial media.

Pertandingan secara dalam talian berlangsung selama lima hari mulai 22 September dan menawarkan wang tunai berjumlah RM100,000.


Pengarang :