Sekolah agama kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor bina institusi, sekolah agama martabatkan pendidikan Islam

SHAH ALAM, 14 OGOS: Kerajaan Negeri terus berusaha memartabatkan pendidikan Islam menerusi pelbagai inisiatif baharu termasuk pembinaan beberapa institusi dan sekolah rendah agama (SRA) di Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata pembangunan tersebut melibatkan dua SRA iaitu Ehyaul Falah, Sabak Bernam dan SRA Denai Alam; Akademi Syahadah Tahfiz al Faizin, Kuala Selangor serta dua Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) di Hulu Langat dan Sepang.

“Pembinaan sekolah agama rakyat, maahad, masjid, surau, caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) serta pelbagai lagi inisiatif bagi pendidikan Islam telah atau sedang dilaksanakan.

“Semoga segala usaha ini akan melahirkan generasi rabbani yang dapat memimpin ummah serta membina tamadun Islam yang syumul,” kata Dato’ Seri Amrudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Pada 24 November tahun lalu, Setiausaha Sulitnya Saifuddin Shafii memaklumkan Selangor memperuntuk sejumlah RM211.11 juta khusus untuk pendidikan Islam pada 2021.

Peruntukan pendidikan Islam itu meliputi:

– RM1.1 juta caruman Perkeso kepada 4,200 guru Kafa
– RM10 juta pembinaan SRA Denai Alam
– RM11 juta pembniaan SRA Ehyaul Falah, Sabak Bernam
– RM12 juta pembinaan MITS Pandah Indah, Hulu Langat dan MITS Bagan Lalang, Sepang
– RM5.6 juta pembinaan Akademi Syahadah Tahfiz al Faizin, Kuala Selangor
– RM2 juta program ‘fast track’ tahfiz bagi memberi peluang penajaan kepada pelajar tahfiz layak untuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
– RM2 juta Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)
– Pembinaan sembilan masjid dijangka siap tahun ini
– Pembiayaan mengurus Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)
– Peruntukan membaik pulih masjid dan surau seluruh Selangor
– Sumbangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebanyak RM200,000 dalam bentuk komputer riba kepada 42 SRA dan Kafa

 


Pengarang :