Orang awam berjoging di Taman Tasek Ampang Hilir, Kuala Lumpur pada 17 Jun 2020 semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selepas kerajaan membenarkan aktiviti riadah di taman awam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

SOP dilonggar, PAKATAN ingatkan kerajaan teguran pakar kesihatan

SHAH ALAM, 11 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengingatkan kerajaan berhubung teguran pakar kesihatan susulan beberapa kelonggaran untuk penerima dua dos vaksin di negeri fasa dua dan tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula semalam.

Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng, PAKATAN berkata teguran mengenai sistem kesihatan awam di sembilan negeri dan wilayah di kedua-dua fasa PPN ini wajib dipandang serius.

“Walaupun ramai yang mungkin berasa lega adanya kelonggaran-kelonggaran ini, namun peringatan dari pakar kesihatan berkenaan sistem kesihatan awam di negeri-negeri tersebut wajib dipandang serius.

“Ini termasuklah menambah peruntukan khususnya meningkatkan jumlah katil unit rawatan rapi, pemekat oksigen dan saringan mengikut syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu cari, uji, kesan, asing, sokong dan vaksin.

“Kerajaan juga perlu melaksanakam lain-lain keperluan di negeri fasa dua sebagai langkah bersiap sedia sekiranya berlaku gelombang baharu Covid-19,” katanya.

PAKATAN juga berpandangan tatacara operasi piawai (SOP) pengudaraan tempat-tempat kerja termasuk hotel dan restoran mesti dikuat kuasa dengan lebih tegas memandangkan Covid-19 boleh tersebar sebagai titisan atau aerosol.

“Insentif seperti geran, subsidi upah, utiliti dan sewa serta rebat cukai perlu diberi kepada syarikat-syarikat tersebut untuk menambah baik atau memperoleh peralatan seperti penapis udara berefisiensi tinggi” katanya.

Pada 8 Ogos, kerajaan mengumumkan individu yang lengkap menerima dua dos vaksin di seluruh negara dibenar merentas daerah dan negeri dalam semua fasa PPN

Namun untuk makan di restoran, aktiviti sukan, riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan di tempat terbuka serta aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan inap desa dan hotel hanya dibenarkan di negeri dan wilayah fasa dua dan tiga PPN.

Ketika ini negeri yang berada di fasa dua adalah Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah. Manakala bagi fasa tiga pula Perlis, Sarawak dan Labuan.


Pengarang :