Selangorkini
ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar memberi sarapan pagi kepada penduduk ketika melawat penduduk Taman Mesra, Shah Alam yang dilanda banjir kilat pada 27 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

50 sukarelawan bantu bersih rumah penduduk terjejas banjir kilat

SHAH ALAM, 27 SEPT: Seramai 50 sukarelawan digerakkan ke Taman Mesra, Seksyen U1 dekat sini, bagi membantu penduduk membersihkan rumah yang terjejas akibat banjir kilat.

ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar bercakap kepada media ketika melawat penduduk Taman Mesra, Shah Alam yang dilanda banjir kilat pada 27 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar berkata sebanyak 108 rumah dinaiki air melebihi setengah meter selepas hujan lebat lebih lima jam petang semalam.

“Kumpulan sukarelawan terdiri ahli Program Sukarelawan Selangor (Serve), Team Selangor, Penggerak Belia Selangor (PeBS) selain kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam dan KDEB Waste Management Sdn Bhd.

“Mereka membantu penduduk membersihkan rumah dan mengangkat perabot rosak. Penduduk taman ini juga ramai warga emas, jadi kehadiran mereka sangat membantu,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat taman berkenaan bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Halimey berkata, pihaknya turut meminta bantuan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd untuk menyediakan air tangki bagi memudahkan penduduk membersihkan kediaman.

“Selain itu anggota bomba turut membantu menyembur kesan kotoran yang sukar dibersihkan,” katanya.

Bagi meringankan beban penduduk, Halimey menyumbang bakul makanan kepada setiap rumah selain mengagihkan sarapan untuk semua mangsa.

“Saya akan membawa isu banjir kilat ke sidang Dewan Negeri Selangor supaya peruntukan diluluskan segera sekali gus membolehkan Majlis Bandaraya Shah Alam atau Jabatan Pengairan dan Saliran mengambil tindakan segera,” katanya.

Semalam beberapa kawasan sekitar bandaraya ini dilanda banjir kilat antaranya di Seksyen 13, Seksyen 4, Seksyen 10 serta Batu Tiga.


Pengarang :