Petugas kesihatan menunjukkan sukatan vaksin sebelum memberi suntikan kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 26 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

800,000 daripada 1.3 juta penduduk Klang sudah divaksin

KLANG, 26 SEPT: Seramai 800,000 penduduk Klang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat ini, kata Ahli Parlimen, Charles Santiago.

Beliau berkata angka itu diperoleh daripada MySejahtera merangkumi semua program vaksinasi yang diadakan termasuk program Vaksin Selangor (Selvax).

“Walaupun jumlah itu tinggi namun kita mempunyai penduduk sekitar 1.3 juta jadi terdapat 500,000 lagi warga Klang yang belum divaksin.

“Oleh kerana terdapat jurang yang besar kita mengadakan program Selvax seperti hari ini bagi memastikan lebih ramai divaksin,” katanya.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Selvax bergerak Dewan Kompleks Sukan Pandamaran di sini, hari ini.

Menurut Charles Santiago jumlah dos yang disediakan pada hari ini adalah sebanyak 1,200 dos dan beliau mengakui jumlah itu belum mencukupi untuk menampung kehadiran orang ramai.

“Saya akan berbincang dengan Dr Siti Mariah Mahmud (EXCO Kesihatan Awam) untuk mengadakan lagi program seperti ini lagi dalam tempoh terdekat,” katanya.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu dibuat secara berperingkat antaranya membabitkan DUN Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali dan Hulu Bernam.

 


Pengarang :