AGENDANASIONAL

Bekalan air lima kawasan di Hulu Langat pulih 60 peratus

SHAH ALAM, 29 SEPT: Pemulihan bekalan air lima kawasan di Wilayah Hulu Langat mencapai 60 peratus setakat jam 12 tengah hari ini, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Berdasarkan infografik Air Selangor di Facebook, tiga kawasan pulih sepenuhnya iaitu Bandar Sungai Long (SL 6, SL9, SL10 dan SL 11), Taman Bukit Palma dan Bandar Mahkota Cheras (Jalan Putera, Jalan Puteri, Jalan Bendahara dan Jalan Mahkota).

Dua lagi kawasan iaitu Green Park Resident mencatat pemulihan 50 peratus manakala Balakong (19.7 peratus).

Syarikat perkhidmatan air itu memaklumkan tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air sistem agihan bekalan.

“Pengguna yang mendapat bekalan air disaran membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan.

“Air Selangor berharap pengguna menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan,” katanya.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre menerusi laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Semalam beberapa kawasan di Wilayah Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air berjadual berikutan kerja penyenggaraan penggantian injap di Taman Sri Indah Balakong, Inlet Cheras dan hadapan The Mines.


Pengarang :