Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada media selepas mengedarkan pek sarapan kepada pelajar dan ibu bapa yang dikelolakan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka) Sungai Kandis di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Klang pada 30 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Atur dialog kakitangan agama tolak vaksin bersama mufti

KLANG, 30 SEPT: Kakitangan institusi agama di negeri ini yang enggan menerima vaksin akan dibawa bertemu golongan agamawan termasuk mufti.

EXCO hal ehwal agama islam berkata pendekatan itu antara usaha memujuk kumpulan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), pegawai masjid dan jurunikah untuk menerima suntikan pelalian

“Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah memujuk tetapi masih ada enggan. Jika alasan agama maka kita temukan mereka dengan alim ulama termasuk mufti untuk berdialog dan bersoal jawab.

“Kalau alasan kesihatan kita boleh aturkan mereka dengan pakar kesihatan untuk memberikan maklumat lebih jelas,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau ditemui selepas mengedar 1,000 pek makanan bersama Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) DUN Sungai Kandis dalam program vaskin remaja di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin, di sini hari ini.

Pada 22 September,  Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan kekecewaan apabila dimaklumkan seramai 96 individu dalam kalangan guru Kafa, ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah menolak untuk divaksin.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga kecewa apabila hanya 203 individu sertai program vaksinasi khas Covid-19 untuk petugas Jais sedangkan seramai 873 orang diarahkan hadir.

Baginda bertitah akan meneliti nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.


Pengarang :