EXCO Perumahan Rodziah Ismail bergambar bersama penerima kunci Rumah Selangorku di Taman Alam Suria, Jeram, Kuala Selangor pada 10 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Gembira miliki Rumah Selangorku dalam usia muda

KUALA SELANGOR, 11 SEPT: Pembeli Rumah Selangorku di Taman Alam Suria di sini, menyuarakan kegembiraan dan berpuas hati kerana dapat membeli rumah pertama dalam usia muda.

R Divya Sharmathy

Pengurus syarikat pengangkutan R Divya Sharmathy, 28, berkata beliau juga tidak sabar untuk membawa ibu bapa berpindah ke rumah baharunya.

“Saya bersyukur dapat miliki rumah sendiri dalam usia muda. Saya memohon rumah ini dua tahun lalu dan berpuas hati dengan kualiti dan keselesaan yang ditawarkan Rumah Selangorku selain harganya berpatutan.

“Buat masa ini saya belum terfiikir untuk berkahwin, jadi saya bercadang membawa ibu dan ayah untuk tinggal bersama,” katanya ditemui pemberita selepas menerima kunci rumah yang disampaikan EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

Bagi pesara Rohaya Md Isa,54, beliau membeli rumah untuk anaknya yang kini menyewa di Taman Medan, Petaling Jaya.

Rohaya Md Isa

“Apabila menyewa kami sekeluarga sukar datang untuk melawatnya, jadi kalau dia tinggal di rumah sendiri mudah untuk kami datang bermalam.

“Mungkin anak saya akan pindah ke rumah baharu pada Disember ini,  saya tidak sabar untuk menghias rumah dengan membeli keperluan serta kelengkapan rumah,” katanya.

Sebanyak 170 unit Rumah Selangorku di Taman Alam Suria mula dibina pada 22 Februari 2019 di kawasan seluas 5.08 ekar dan siap 24 Mei tahun ini.

Rumah teres satu tingkat itu mempunyai keluasan 900 kaki persegi dan dijual dengan harga RM250,000.

Dasar Rumah Selangorku menumpu penambahbaikan aspek pemilikan, perancangan dan pelaksanaan supaya memberi manfaat kepada pemaju, pelaksana dasar dan pemilik rumah.

Rumah Selangorku dijual pada harga antara RM42,000 sehingga RM250,000 dan menumpukan golongan berpendapatan rendah.


Pengarang :