Keadaan wad pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur selepas penurunan kes tahap 4 dan 5 yang memerlukan bantuan pernafasan pada 15 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Hampir 98 peratus kes Covid-19 libatkan pesakit kategori satu, dua

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Sebanyak 97.8 peratus atau 19,304 kes daripada keseluruhan 19,733 kes baharu Covid-19 hari ini terdiri daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua (bergejala ringan).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki 429 kes (2.2 peratus) terdiri daripada kategori tiga (radang paru-paru), empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan).

Menurutnya, sebanyak 12,483 kes daripada 19,304 kes dalam kategori satu dan dua itu tidak lengkap vaksinasi atau tiada sejarah vaksinasi, manakala situasi sama untuk 331 kes daripada 429 kes bagi kategori tiga hingga lima.

“Situasi ini jelas menunjukkan mereka yang lengkap divaksinasi adalah lebih terlindung dan juga kurang berisiko mendapat jangkitan Covid-19 teruk. Perkembangan positif ini dapat terus dilihat sekiranya Malaysia telah mencapai kadar vaksinasi lebih tinggi.

“Justeru, kepada mereka yang belum mengambil vaksin Covid-19, adalah dinasihatkan untuk segerakan pengambilan vaksin bagi melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan dijangkiti Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham menasihatkan masyarakat untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 91.3 peratus atau 1,734,088 daripada jumlah keseluruhan 1,900,467 kes positif Covid-19 negara ini adalah terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap divaksin.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 361 kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan 301 warganegara dengan 102 kes kematian di luar hospital atau brought in dead (BID) terdiri daripada 71 warganegara.

Dr Noor Hisham berkata 22,701 kes sembuh dicatatkan hari ini manakala kes aktif Covid-19 di seluruh negara kini 248,673, manakala 904 orang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) disahkan Covid-19 dengan 430 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata sebanyak 35 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan 20 daripadanya melibatkan kluster tempat kerja, 11 kluster komuniti, dua kluster kumpulan berisiko tinggi, dan masing-masing satu kluster untuk kategori pendidikan lain serta institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

Katanya, keseluruhan kluster aktif kini 1,459.

-BERNAMA


Pengarang :