Kumpulan Caliph Buskers membuat persembahan pada program Vaksin Selangor (Selvax) di pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 21 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Irama dan lagu pemuzik jalanan ceriakan pengunjung PPV

SHAH ALAM, 5 SEPT: P Ramlee mendendangkan Getaran Jiwa dengan seni kata indah: Irama dan lagu, bagaikan kembang sentiasa bermadu, andai dipisah lagu dan irama, lemah tiada berjiwa. Hampa.

Mengambil semangat ini di tengah-tengah wabak Covid-19 yang menjejaskan pendapatan pemuzik jalanan, Kerajaan Negeri menganjurkan projek Kita Buskers Selangor selama sebulan bermula 15 Ogos.

Dengan peruntukan RM250,000, seramai 500 orang mengadakan persembahan di pusat pemberian vaksin (PPV) Vaksin Selangor (Selvax) dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.

Kehadiran mereka menambahkan keceriaan suasana PPV, lokasi yang menjadi tumpuan ramai ketika ini. Jurufoto HAFIZ OTHMAN, AHMAD ZAKKI JILAN, REMY ARIFIN dan FIKRI YUSOF merakam persembahan sebahagian mereka antara 6 hingga 30 Ogos. Keterangan foto disediakan NADIAH ZAMLUS.

 

Rudy Suharni Rohim, 41, dan rakannya Rabiatul Adawiah, 23, sering bermain muzik di hotel lima bintang sekitar ibu negara sebelum pandemik. Ditubuhkan sejak 2018, duo berkenaan gemar memainkan irama klasik dan jazz. Mereka kerap mengalunkan lagu Hijau nyanyian Zainal Abidin yang menjadi kegemaran mereka ketika di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sivik PJS7, Petaling Jaya

Berpengalaman bermain dram sejak 20 tahun lalu, Mohd Hafidz Hussin, 45, juga berkebolehan menyanyikan lagu dalam empat bahasa termasuk Latin dan Cina. Beliau bersama Rozairie Hashim, 31, menubuhkan kumpulan Alcapone tahun lalu. Mereka mengadakan persembahan di PPV De Palma, Shah Alam

M Ramlan Talib, 61, dan anaknya Nurul Atiqah, 29, dari Klang aktif bermain muzik sejak 10 tahun lalu. Mengadakan persembahan di PPV Dewan Serbaguna, Banting Baru mereka menubuhkan Kumpulan Cherish 2000 yang turut dianggotai lima lagi ahli keluarga mereka. Namun, hanya dua orang dibenar membuat persembahan di PPV

 

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah beramah mesra dengan ahli Caliph Buskers di PPV Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya. Reputasi kumpulan itu melonjak selepas dinobatkan pemenang Persembahan Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu pada 2015

Muhammad Tirmizi Muslim, 30, yang dilahirkan buta mahir bermain gitar sejak sekolah rendah. Menganggotai kumpulan Eyelitz yang disertai golongan senasib, pereka laman web itu bergandingan dengan rakannya Nur Lailatul Aida Bahaman, 21, dari kumpulan I&M Duo ketika menghiburkan pengunjung PPV Dewan Sivik PJS7, Petaling Jaya

 

Sang Hitam Band teruja diberi peluang menghiburkan peserta vaksin di PPV Dewan Serbaguna MPAJ AU5, Ampang Jaya selepas tiga bulan tidak membuat penampilan di hadapan khalayak. Penyanyinya Mohd Ezuwan Mazlan, 32, memainkan 20 lagu pelbagai genre sepanjang dua sesi mulai 9 pagi hingga 3 petang

Pasangan tunang Aliff Redza Mohd Radzi, 29, dan Nur Izzati Ismail, 26, menubuhkan kumpulan Him & Her dua tahun lalu. Aliff Redza adalah bekas peserta Mentor Milenia, rancangan popular terbitan TV3. Membuat persembahan di Kuala Lumpur dan Singapura, mereka tampil di PPV Evo Mall, Bangi

 

Norizam Hussain, 36, dan Alfian Ahmad, 36, menjadi pemuzik jalanan sepenuh masa sejak lapan tahun lalu. Anggota kumpulan Lantera itu kerap membuat persembahan di rumah terbuka Aidilfitri beberapa artis terkenal. Juga pernah membuat persembahan di pulau peranginan termasuk Langkawi, Tioman dan Perhentian

Ahli kumpulan X’cess Busker Ridzwan Abd Rahman, 56, dan Muhammad Sharizal Abd Wahab, 33, menghiburkan pengunjung PPV Evo Mall, Bangi. Ridzwan antara ahli kumpulan rock Chapters yang merakam album berjudul Prajudis pada 1991 yang popular dengan lagu Dosa Cinta dan Titian Rindu


The Peacefinder ditubuh Mohd Hafiedz Samsuri, 37, pada tahun lalu. Dia dan rakan pernah menang dua pertandingan muzik jalanan di Kuala Lumpur serta merakam lagu berjudul Anak Uncle Beraya. Bersama Muhammad Fakhrul Mukminin Mohamad, 22, dia membuat persembahan di PPV Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya


Pengarang :