ADN Kajang Hee Loy Sian (kiri) singgah di kiosk ‘Nasi Lemak Meletup Hafizah’ yang terletak berhampiran Masjid Jamek Kajang pada 25 Sept 2021. Foto Facebook Hee Loy Sian
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Jualan nasi lemak pasangan dibantu ADN Kajang dapat sambutan

SHAH ALAM, 26 SEPT: Pasangan suami isteri yang dibantu wakil rakyat Kajang minggu lalu menarik nafas lega apabila perniagaan ‘Nasi Lemak Meletup Hafizah’ yang diusahakan mendapat sambutan.

Hee Loy Sian berkata Hafizah menjual nasi lemak berlauk dari pagi hingga tengah hari sejak seminggu lalu berhampiran Masjid Jamek Kajang.

“Sebelah petang Kak Hafizah jual goreng pisang, keropok lekor dan karipap. Beliau dibantu anaknya.

“Hasil peniagaan amat memuaskan. Diharap sesiapa yang melalui Kajang boleh singgah kejap untuk memberi sokongan kepada gerai ‘Nasi Lemak Meletup Hafizah’,” katanya.

EXCO pelancongan itu berkongsikan kisah berkenaan di Facebook selepas singgah di kiosk Hafizah petang semalam. Beliau turut menyertakan lokasi tapak niaga bagi memudahkan orang ramai membeli juadah berkenaan.

Minggu lalu Loy Sian membantu Hafizah dan suami, Mohd Risainy bersama tiga anaknya yang tinggal dalam kereta selepas dihalau daripada rumah sewa.

Selain menghulurkan modal menjual nasi lemak, Loy Sian turut membantu mencari dan membayar wang pendahuluan rumah sewa serta membeli keperluan rumah seperti peti sejuk, tilam dan dapur memasak.

Pasangan berkenaan memiliki tujuh anak namun tiga diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala seorang meninggal dunia kerana sakit.


Pengarang :