Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia bertungkus lumus merawat pesakit Covid-19 yang koma di wad unit rawatan rapi Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 13 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lagi 61 kes varian bahaya dikesan, 20 di Selangor

SHAH ALAM, 14 SEPT: Sebanyak 61 kes baharu varian membimbangkan (VOC) dikesan dalam negara antara 31 Ogos sehingga semalam, menurut ketua pengarah kesihatan.

Data dikongsikan Tan Sri Dr Hisham Abdullah di Facebook menunjukkan 20 kes varian Delta dilaporkan di Selangor diikuti Johor (14), Kuala Lumpur (enam), Negeri Sembilan dan Melaka masing-masing satu kes.

Manakala Sabah mencatat 19 kes VOC iaitu 17 kes varian Delta dan dua Beta.

“Kajian berterusan Institut Biologi Molekular Perubatan UKM (UMBI) mengenal pasti 23 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesan 38 kes.

“(Kes berkenaan) kesemuanya VOC iaitu 36 kes varian Delta (B.1.617.2) dan dua kes varian Beta (B.1.351),” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes dijangkiti wabak kategori VOC dan varian perlu diwaspada (VOI) adalah sebanyak 1,385 kes.

Daripada jumlah tersebut, katanya, sebanyak 1,365 kes VOC manakala baki kes VOI.

“Secara keseluruhan, sehingga kini bagi VOC, sebanyak 1,141 kes varian Delta, Beta (211), Alpha (14) manakala VOI terdapat 13 kes varian Theta, Kappa (empat) serta Eta (tiga),” katanya.


Pengarang :