Atlet badminton paralimpik negara Cheah Liek Hou meraikan kemenangan selepas menewaskan lawannya dari Indonesia Dheva Anrimusthi pada perlawanan akhir kategori SU5 (berdiri/ kemerosotan anggota badan atas) temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Yoyogi National Stadium pada 4 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Liek Hou catat sejarah pemain badminton pertama menang emas Paralimpik

TOKYO, 4 SEPT: Satu hari yang penuh bersejarah buat sukan badminton Malaysia.

Juara dunia enam kali, Cheah Liek Hou menjadi pemenang pingat emas badminton yang pertama Sukan Paralimpik, selepas beliau menewaskan musuh utamanya Anrimusthi Dheva dari Indonesia pada perlawanan akhir perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) hari ini.

Badminton buat pertama kalinya dipertandingkan pada Sukan Paralimpik di Tokyo.

Pemain nombor dua dunia itu menewaskan Dheva pemain pilihan pertama Paralimpik 21-17, 21-15 pada hari keempat acara badminton yang berlangsung di Yoyogi National Stadium.

Pada set pertama, kesilapan yang dilakukan pemain nombor satu dunia itu membolehkan Liek Hou mendahului 5-0, sebelum pemain indonesia itu mengejar hingga ke kedudukan 8-5.

Selepas mendahului dengan selesa 11-5 sebelum rehat antara perlawanan, Liek Hou tidak dapat menggunakan kelebihan enam mata yang beliau miliki sehingga membenarkan Dheva menyamakan kedudukan 15-15, sebelum pemain kebangsaan itu berjaya memperbaiki kedudukan dengan menghasilkan pukulan smash yang kuat bagi mendapatkan mata akhir dan menang set pertama, 21-17.

Set kedua memperlihatkan perlawanan sengit dengan kedua-dua pemain berkedudukan rapat sebelum Liek Hou berjaya mendahulu 11-10 sebelum rehat antara perlawanan.

Selepas itu Liek Hou tidak lagi menoleh kebelakang dan terus menunjukkan permainan yang terbaik bagi menyerap serangan Dheva sebelum memastikan pingat emas miliknya dengan memenangi set kedua, 21-15.

Sebaik memang, Liek Hou kemudiannya merebahkan dirinya di atas gelanggang untuk seketika dan kemudiannya menerpa ke arah jurulatihnya Datuk Rashid Sidek bagi meraikan kejayaan cemerlangnya di Paralimpik itu.

Kemenangan hari ini juga membolehkan Liek Hou mengekalkan rekodnya lima perlawanan tanpa kalah di Sukan Paralimpik, termasuk tiga kemenangan pada peringkat Kumpulan B.

-BERNAMA


Pengarang :