Orang ramai patuh menggunakan pelitup muka selepas Kerajaan mewajibkan penggunaan pelitup muka di tempat awam dan sesak bagi mengawal penularan Covid-19. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Jangan lalai, terus patuh SOP meski kes Covid-19 turun

SHAH ALAM, 27 SEPT: Dato’ Menteri Besar menggesa orang ramai terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) meskipun jangkitan harian Covid-19 di negeri ini menurun kepada 979 kes hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemakaian pelitup muka di tempat awam, penjarakan fizikal dan penjagaan kebersihan diri harus sentiasa diamalkan.

Menurutnya, kes harian direkodkan itu adalah jangkitan terendah dicatat sejak 4 Mei lalu dengan 675 kes.

“Walaupun jumlah kes mencatatkan penurunan, kita tidak boleh alpa dan lalai.

“Teruskan mematuhi SOP, pakai pelitup muka di kawasan awam, jaga jarak fizikal dan kebersihan diri,” katanya di Twitter hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan jangkitan Covid-19 di Selangor hari ini turun kepada 979 kes berbanding 1,558 jangkitan semalam.

Jangkitan di seluruh negara juga menurun kepada 10,959 kes.


Pengarang :