Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah (tengah) dan penguat kuasa menunjukkan barangan yang dirampas sempena Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana di Kawasan Perusahaan Bukit Raja, Seksyen 7, Shah Alam pada 27 September 2021. Foto FACEBOOK KPDNHEP SELANGOR
AGENSISELANGOR

Barang tiruan bernilai RM1.6 juta dilupus

SHAH ALAM, 27 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor hari ini melupuskan pelbagai barangan rampasan dan tiruan bernilai RM1.6 juta sempena sambutan Hari Penguatkuasa ke-49.

Pengarahnya berkata pelupusan ekshibit perdana membabitkan 33 kes sejak Januari hingga September tahun ini yang selesai menjalani proses mahkamah serta mendapat kebenaran untuk dilupuskan.

Muhamad Zikril Azan Abdullah menjelaskan semua barangan adalah kes rampasan melibatkan pelanggaran Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Cap Dagang 2019.

“Sebahagian daripada jenis barangan kes dilupuskan melibatkan barangan tiruan seperti minuman keras, beg tangan, dompet, pelbagai jenis pakaian, pakaian sukan, alat ganti kenderaan dan lain-lain berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Muhamad Zikril turut menegaskan mana-mana peniaga supaya memberi kerjasama dengan mematuhi peruntukan perundangan dikuatkuasakan di bawah agensi berkenaan.

“Sebarang perlakuan melanggar mana-mana peruntukan perundangan dikuatkuasakan khususnya di bawah perlindungan harta intelek dan melibatkan barangan bersubsidi, KPDNHEP tidak akan berkompromi serta boleh mengenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, pelupusan itu dijalankan pertama kali sejak negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ekoran pandemik Covid-19.

 


Pengarang :