Atlet lontar peluru paralimpik negara Muhammad Ziyad Zokefli beraksi pada acara lontar peluru F20 (kategori masalah pembelajaran) pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MB: Ziyad, anda tetap wira di hati rakyat Malaysia

SHAH ALAM, 1 SEPT: Seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian jaguh lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli meskipun rayuan pingat emas yang dimenanginya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 ditolak.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitternya berkata beliau berharap Muhammad Ziyad meneruskan perjuangan dan tidak berputus asa selepas berjaya memecah rekod dunia dengan catatan 17.94 meter.

“Anda tetap wira di hati rakyat Malaysia, Ziyad! Persembahan yang cukup luar biasa yang memecahkan rekod dunia akan kekal terpahat di memori kami. Jangan putus asa, teruskan perjuangan. #DoaUntukZiyad #MAS,” tulisnya.

Jawatankuasa Rayuan Olahraga Para Dunia menolak rayuan Muhammad Ziyad untuk membatalkan keputusan akhir lontar peluru F20 pada temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan atlet negara terlepas pingat emas acara berkenaan dan rayuan selanjutnya hanya boleh dibuat selepas temasya berkenaan berakhir.

Perkara itu diumumkan Olahraga Para Dunia dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Semalam, kemenangan Muhammad Ziyad dibantah oleh kem Ukraine selepas dikatakan lewat memasuki bilik panggilan sebelum pertandingan bermula.

Nasib sama menimpa atlet dari Australia, Todd Hodgetts dan Jordi Patricio dari Ecuador.

 


Pengarang :