Petugas kesihatan memanggil pelajar untuk menerima suntikan pelalian dalam Program Vaksinasi Remaja 16 dan 17 tahun Daerah Kuala Selangor di Stadium Kuala Selangor pada 28 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pelajar ambil vaksin tidak sabar hadiri kuliah bersemuka

KUALA SELANGOR, 28 SEPT: Golongan remaja berharap pemberian vaksin Covid-19 kepada kelompok itu membolehkan sesi pembelajaran di dalam bilik kuliah.

Pelajar Kolej Vokasional Kuala Selangor Nur Damia Hamidi, 16, berkata beliau tidak sabar menerima suntikan pelalian tersebut.

Nur Damia Hamidi

“Saya tidak sabar untuk mendaftar masuk ke kolej pada November ini untuk menghadiri kelas secara bersemuka.

“Selain itu saya berharap apabila ramai divaksin dapat pulang ke kampung di Jitra, Kedah berjumpa nenek,” kata pelajar jurusan Hospitaliti Seni Kulinari.

Manakala pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama, J Sopnah, 16, berkata beliau pada awalnya sedikit gemuruh kerana risau kesan suntikan.

J Sopnah

“Saya pernah alami bengkak di tangan akibat dicucuk pada waktu kecil namun ayah memberitahu supaya jangan bimbang.

“Proses suntikan lancar dan tidak berasa apa-apa ketika disuntik dan berharap dapat pergi ke kelas selepas semua divaksin,” katanya.

Program vaksin Covid-19 remaja berumur 16 dan 17 tahun di daerah Kuala Selangor bermula 23 sehingga esok.

Program di pusat pemberian vaksin (PPV) Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor diadakan bermula jam 9 pagi sehingga 4 petang.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos sebelum sesi persekolahan dibuka pada tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada November ini.


Pengarang :