Persembahan kumpulan nasyid Hijjaz pada Majlis Perasmian Tilawah dan Menghafaz all-Quran Peringkat Negeri Selangor Tahun 1441H/2020M di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 14 Januari 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Penyanyi nasyid hargai bantuan Selangor, naikkan semula populariti

SHAH ALAM, 8 SEPT: Rancangan Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM250,000 bagi membantu kumpulan nasyid yang terjejas Covid-19 menunjukkan keprihatinan kepada penggiat seni.

Vokalis Hijjaz Munif Ahmad berkata inisiatif bukan hanya membantu dari aspek kewangan sebaliknya juga boleh menaikkan semula populariti mereka dalam kalangan peminat.

“Hampir dua tahun kami tidak dapat buat persembahan. Ini bukan beri kesan pada pendapatan semata tetapi kepada ‘nama’. Takut jika kami terus hilang dari persada seni.

“Jadi rancangan Kerajaan Selangor bantu kami rakam persembahan satu usaha yang sangat baik. Peminat boleh melihat kami semula. Harap bantuan dihebahkan supaya semua dapat mengambil peluang,” katanya kepada SelangorKini.

Ketua kumpulan Rabbani pula berkata bantuan seperti itu sememangnya dinanti dan berharap ia dijalankan bersama Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia).

Jelas Azadan Abdul Aziz langkah itu sebagai usaha memastikan dana sampai kepada sasaran terutama penyanyi veteran yang kurang mahir berkenaan teknologi.

“Kita tahu sekarang semuanya menerusi online (dalam talian). Yang agak berusia dan kurang mahir teknologi sukar buat permohonan.

“Jadi bila ada kerjasama Munsyid, ia membantu semua. Segala maklumat dibawa ke mesyuarat jadi tak ada yang tertinggal. Biar semua dapat dibantu,” katanya.

Semalam EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata penggiat seni akan terus dibantu dengan dana tambahan RM250,000 bagi membela kumpulan nasyid yang terjejas akibat Covid-19.

Menurutnya peruntukan itu digunakan untuk proses rakaman persembahan yang akan dimuat naik di laman sosial seperti Facebook dan Youtube.

Ketika ini Kerajaan Selangor sedang mengenal pasti kumpulan yang bakal terlibat.

Pada Ogos jumlah sama turut diperuntuk bagi membela nasib buskers dengan menempatkan mereka di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih termasuk empat PPV mega bawah persekutuan.

Menerusi Projek Kita Buskers Selangor selama sebulan mulai 15 Ogos turut memberi sejumlah wang sagu hati selain kutipan awam bagi membantu golongan itu meneruskan kehidupan.


Pengarang :