Rodziah Ismail bercakap kepada media selepas menyampaikan barangan pembelian makanan asas kepada penduduk terpilih yang membeli di Pasar Mesra, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom, Shah Alam pada 5 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Permohonan bina 204,871 unit Rumah Selangorku diterima, lebih 60,000 lulus

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri menerima permohonan bagi pembangunan 204,871 unit Rumah Selangorku pada tahun ini, kata EXCO perumahan.

Rodziah Ismail berkata daripada jumlah itu lebih 60,000 telah diluluskan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dengan 18,647 unit sedang dibina di sekitar Lembah Klang.

“Sebenarnya pembangunan Rumah Selangorku memang terjejas apabila Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) sebelum ini lambat memberi kelulusan untuk sektor pembinaan beroperasi.

“Namun, kita akan ambil kira semua perkara untuk pastikan semuanya berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas turun padang bagi meninjau penganjuran Pasar Mesra di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom hari ini.

Pada masa sama, Rodziah berkata pihaknya menerima banyak permohonan daripada pemaju yang mahu beroperasi pada luar waktu untuk memastikan rumah dapat disiapkan pada tempoh ditetapkan.

“Perkara ini perlu mengikut syarat ditentukan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing. Mereka (pemaju) mesti memohon melalui PBT untuk mendapat pertimbangan sekiranya ingin beroperasi di luar waktu dibenarkan,” katanya.

Dasar Rumah Selangorku menumpu penambahbaikan aspek pemilikan, perancangan dan pelaksanaan supaya memberi manfaat kepada pemaju, pelaksana dasar dan pemilik rumah.

Rumah Selangorku dijual pada harga antara RM42,000 sehingga RM250,000 dan menumpukan golongan berpendapatan rendah.


Pengarang :