Selangorkini
Hutan simpan Ampang Pechah sebahagian rangkaian serambi pergerakan hidupan liar kerana ia bersambung dengan hutan tebal Banjaran Titiwangsa yang digelar tulang belakang hutan tengah (CFS)
BUDAYA RENCANA

Rimbunan khazanah hutan simpan kekal di Selangor

Selangor menambah tiga lagi kawasan hutan simpan kekal, keseluruhannya seluas 581.48 hektar, bagi menjaga khazanah alam termasuk sebagai menyimpan air dan mengawal kelembapan.

Hutan simpan Sungai Panjang di Sabak Bernam, Ampang Pechah (Hulu Selangor) dan Bukit Broga (Hulu Langat) menyimpan pelbagai spesies flora dan fauna.

Selain tiga kawasan yang dirizabkan itu, Kerajaan Negeri juga mengekalkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) seluas lebih 900 hektar walau 30 hingga 40 peratus kepelbagaiannya merosot akibat kebakaran hutan paya gambut itu.

Sempena sambutan Hari Sungai Sedunia pada 26 September, wartawan Nadiah Zamlus dan Amin Ridzuan Ishak bersama jurufoto Fikri Yusof, Hafiz Othman dan Harun Tajudin meninjau tiga hutan simpan berkenaan pada 14 dan 15 September.

Pengawas Hutan Pejabat Renjer Kuala Kubu Bharu Mohd Azwan Husin memeriksa aliran air di kawasan hutan berbukit di Ampang Pechah, Hulu Selangor. Aliran ini boleh ditemui secara bermusim terutama ketika hujan
Penolong Pegawai Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Mohd Hadzmer Sanuddin memegang akar pokok pepanjat yang mengelilingi pokok tempinis di hutan simpan Ampang Pechah. Nama sainsnya ‘Streblus elongatus’, tempinis sejenis pohon sederhana yang boleh tumbuh setinggi 30 meter
Ukur lilit payung cendawan liar ‘Turkey tail mushroom’ boleh membesar antara tiga hingga lapan sentimeter. Mempunyai banyak khasiat perubatan walau ada kesan sampingannya, ia mudah ditemui pada pokok mati dalam hutan simpan di Hulu Selangor
Pelukis Pelan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Muhammad Syafiq Hafizi Zakaria menunjukkan kawasan hutan simpan Ampang Pechah. Kawasan seluas 208.98 hektar itu terbahagi kepada zon timur dan barat
Sungai Tengi menjadi pemisah hutan simpan Sungai Panjang (kanan) yang baharu diwartakan dengan Hutan Simpan Sungai Dusun. Hutan Simpan Sungai Karang terletak berhampiran kawasan ini
Penolong Pegawai Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Mohd Hadzmer (kanan) dan pelukis pelan jabatan berkenaan Muhammad Syafiq Hafizi (kiri) menunjukkan peta sempadan hutan simpan Sungai Panjang yang baharu diwartakan kepada Pengawas Hutan Pejabat Subrenjer Sabak Bernam Anuar Wahid
Pengawas Hutan Pejabat Subrenjer Sabak Bernam Marinah Jasman menunjukkan tanah gambut hutan simpan Sungai Panjang yang lebih berasid daripada HSKLU. Statistik Kementerian Tenaga dan Sumber Asli pada 2020 menunjukkan hanya ada 317,000 hektar hutan tanah gambut pada 2018 berbanding 1,030,000 hektar pada 1990
Pengawas Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Muhammad Mustaza Hakimi Norzilan menanda sempadan kawasan yang dicadang sebagai hutan simpan baharu, sekitar 600 meter dari kaki Bukit Broga
Senduduk, atau nama sainsnya Melastoma malabathricum, sejenis herba yang mempunyai khasiat. Dalam perubatan tradisi, daun, pucuk dan akarnya dikatakan boleh merawat cirit-birit, melegakan sakit gigi serta meredakan perut kembung. Ia mudah tumbuh di banyak tempat termasuk kawasan Bukit Broga
Pokok medang kemangi, Cinnamomum porrectum, boleh ditemui di Bukit Broga. Ia turut dipanggil medang Sarsi kerana mengeluarkan bau seakan-akan minuman ringan Sarsi
Pokok melembu boleh dikenali berdasarkan kulitnya yang menggerutu manakala isi kayunya sama seperti tekstur daging lembu. Nama botaninya Pterocymbium javanicum, spesies ini mudah ditemui di hutan Asia Tenggara

 


Pengarang :