Orang ramai mendapatkan bekalan air melalui lori tangki yang disediakan di kawasan terjejas. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Sebahagian besar wilayah Hulu Langat dapat semula bekalan air

SHAH ALAM, 1 SEPT: Sebahagian besar kawasan di Hulu Langat yang terjejas bekalan air akibat pencemaran bau semalam pulih 81.5 peratus setakat jam 4 petang.

Dua wilayah iaitu Sepang dan Putrajaya masing-masing pulih 56.7 dan 56.5 peratus, sementara Petaling dan Kuala Langat pula dapat bekalan antara 36.6 hingga 45 peratus.

“Sehingga jam 4 petang, pemulihan bekalan air di 463 kawasan yang terjejas telah mencapai tahap 52 peratus,” kata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) di Facebook.

Menurut syarikat itu, bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki terus digerakkan kepada pengguna dan premis kritikal di kawasan terjejas sepanjang tempoh gangguan.

“Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki,” kata syarikat itu.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau yang telah dikesan di stesen pam air mentah Jenderam Hilir pada jam 11.10 pagi semalam.

Senarai kawasan yang menerima air berperingkat-peringkat selepas bekalan distabilkan dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.


Pengarang :