Chua Wei Kiat (tengah) menyerahkan bantuan makanan asas kepada penduduk terkesan Covid-19 di sekitar Rawang pada 3 Julai 2021. Foto Facebook Chua Wei Kiat
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Junjung titah Sultan, wakil rakyat terus bantu penduduk susah

SHAH ALAM, 1 SEPT: Wakil rakyat negeri menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor supaya mengambil maklum kesusahan rakyat dengan membantu mereka yang terkesan akibat Covid-19.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang berkata pihaknya mengerakkan seramai 50 sukarelawan termasuk ketua kampung bagi mengenal pasti golongan memerlukan untuk dibantu.

Chua Wei Kiat berkata bantuan tetap diteruskan meski sektor ekonomi kembali dibuka berikutan masih ada yang terjejas akibat hilangan pendapatan sepanjang tempoh perintah kawalan.

“Kita juga memfokuskan golongan rentan dengan memberi bantuan seperti susu dan lampin pakai buang kerana barangan ini salah satu keperluan buat mereka,” katanya ketika dihubungi.

Wakil rakyat Pandamaran Leong Tuck Chee berkata antara 7,000 hingga 8,000 bantuan makanan diagihkan sepanjang tahun ini yang turut meliputi luar Dewan Undangan Negeri itu.

ADN Pandamaran Tony Leong Tuck Chee

“Selepas ini kita akan turun dari rumah ke rumah bagi mengenal pasti keperluan mereka kerana keperluan setiap individu tidak sama. Kita juga akan lihat keperluan memberi tablet untuk pelajar bagi mengikuti pembelajaran di rumah,” katanya.

ADN Bukit Gasing pula mengambil pendekatan mengedarkan makanan yang siap dimasak kepada penduduk tertentu antaranya warga emas yang hilang upaya.

“Ada golongan seperti warga emas yang tidak lagi berkeupayaan untuk memasak jadi mereka boleh maklumkan kepada pusat khidmat dan kita akan buat pesanan di kedai berdekatan mereka. Apabila makanan itu sudah siap mereka sendiri akan mengambilnya,” katanya.

Pada 23 Ogos, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan semua wakil rakyat untuk turun padang mengesan penduduk yang memerlukan bantuan.

Baginda bertitah golongan ini perlu sentiasa dicari, bukan hanya ketika ingin mendapatkan undi sewaktu pilihan raya sahaja.


Pengarang :