Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun ketika hadir pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Parlimen pada 14 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Segera pilih timbalan speaker, perkasa fungsi Parlimen

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kekosongan satu daripada dua jawatan timbalan yang dipertua Dewan Rakyat wajar diisi segera atas semangat memperkasa fungsi Parlimen, tegas Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Wakil rakyat Kulim Bandar Bharu berkata keadaan itu juga membebankan Yang Dipertua Datuk Azhar Azizan Harun dan timbalannya Datuk Rashid Hasnon setelah Datuk Seri Azalina Othman meletak jawatan Ogos lalu.

Beliau menjelaskan fungsi Dewan Rakyat harus sentiasa diperkasa seperti dimeterai dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan.

“Atas semangat yang kita meterai semalam untuk memperkasa fungsi parlimen dan maka wajib disegera pelantikan timbalan speaker.

“Menempohkannya (menangguhkannya) mungkin menyelesaikan isu dalaman kerajaan yang tidak ingin saya campur, rasional saya bawa semalam antara komponen penting dalam memperkasa parlimen adalah peranan jawatankuasa pilihan khas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memohon penjelasan usul menangguhkan pemilihan timbalan yang dipertua Dewan Rakyat yang sepatutnya dibuat hari ini.

Terdahulu, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) memohon penangguhan bagi membolehkan kerajaan meminda Perkara 57 (1) (b) untuk menambah jawatan timbalan yang dipertua kepada tiga berbanding dua pada masa kini.

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata menerusi pindaan itu, satu daripadanya akan diisi wakil rakyat dari blok pembangkang.


Pengarang :