AGENDABERITA UTAMANASIONAL

10,000 baucar pelancongan negeri habis ditebus dalam seminggu

SHAH ALAM, 28 OKT : Sebanyak 10,000 Baucar Pelancongan Selangor 2.0 bernilai RM100 habis ditebus menerusi aplikasi beli-belah Shopee hari ini, kata ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor.

Azrul Shah Mohamad berkata pihaknya berpuas hati apabila baucar yang ditawarkan kepada umum pada Jumaat lalu habis dalam tempoh seminggu meskipun tarikh penebusan dibuka sehingga 31 Disember.

“Semua baucar habis ditebus dan kita yakin ia habis diguna memandangkan rakyat Malaysia kini teruja untuk bercuti selepas diberi kebenaran merentas negeri dan daerah,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika bercuti atau beriadah bersama keluarga.

Sebanyak 170 pakej pelancongan ditawarkan melalui 35 agensi menerusi baucar itu. Pembelian terhad untuk satu transaksi dan tidak boleh diganti produk lain.

Inisiatif bernilai RM2.55 juta itu sebahagian tawaran dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang dilancarkan EXCO Pelancongan Hee Loy Sian pada 5 Oktober.

Inisiatif Kerajaan Negeri itu bagi merancakkan semula aktiviti sektor pelancongan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 18 Disember tahun lalu, Selangor melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu.

Pengagihan membabitkan 10,000 baucar untuk menginap di hotel, taman tema dan inap desa berlesen.


Pengarang :