Keadaan semasa insiden paip pecah Kampung Chinchang Salak Tinggi, Sepang mencapai tahap 55 peratus setakat jam 9 pagi 19 Oktober 2021. Foto Facebook Air Selangor
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekalan air 156 kawasan disalur mulai 6.30 petang hari ini

SHAH ALAM, 19 OKT: Bekalan air di 145 kawasan di Sepang dan 11 lagi di Kuala Langat dijangka akan mula disalurkan kepada pengguna pukul 6.30 petang ini, secara berperingkat.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam Facebook rasmi memaklumkan sehingga pukul 9 pagi tadi, pelaksanaan kerja-kerja kecemasan mencapai tahap 55 peratus dan kerja-kerja pembaikan dijangka siap pada pukul 6 petang.

Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 petang esok. Tempoh masa pemulihan bergantung kepada jarak lokasi premis dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Semalam syarikat itu memaklumkan berlaku insiden paip pecah berhampiran Kampung Chinchang Salak Tinggi, Sepang.

Susulan itu, Air Selangor menutup bekalan air pada 9 malam tadi bagi membolehkan kerja pembaikan paip berjalan lancar.

Sebanyak 145 kawasan di Wilayah Sepang dan 11 kawasan di Kuala Langat terlibat dengan insiden berkenaan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat semasa di semua saluran komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram atau hubungi talian 15300.

Sebarang pertanyaan boleh diaju di laman sesawang http://www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.


Pengarang :