Selangorkini
AGENDA NASIONAL

HARAPAN putuskan Norhizam tidak jadi calon PRN Melaka

SHAH ALAM, 21 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) memutuskan untuk tidak meletakkan Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai calon dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Majlis Presiden memaklumkan keputusan membabitkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu itu menerusi kenyataan hari ini.

Kenyataan sama turut menegaskan bahawa isu pencalonan berkait empat bekas ADUN dalam PRN tidak berbangkit di dalam mesyuarat berikutan mereka bukan ahli mana-mana parti komponen HARAPAN.

“Dalam isu empat bekas ADUN, Pakatan Harapan telah menerima pandangan semua pihak yang tegas tentang perkara ini.

“Perlu ditekankan kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada mana-mana individu,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan dibuat bersama oleh Presiden Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Marius Tangau.

Majlis Presiden turut bersetuju melantik Pengerusi HARAPAN Melaka, Adly Zahari bagi mengetuai jentera pilihan raya bagi menghadapi PRN Melaka.

Sebelum ini Guan Eng dalam kenyataan bertegas menolak sekiranya Norhizam bertanding bawah panji HARAPAN sebagai calon serta memaklumkan perkara itu akan dibawa untuk perbincangan Majlis Presiden.

Norhizam yang sebelum ini menang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu atas tiket DAP mengumumkan menjadi calon Bebas sekaligus memberi sokongan kepada Umno untuk membentuk gabungan kerajaan baru di negeri itu pada Mac tahun lalu.


Pengarang :